Pesan Hantar DBPNiaga (dropship)

Pesan Hantar DBPNiaga (dropship)

Selamat datang ke Program Pesan Hantar DBPNiaga (dropship)

Program ini merupakan inisiatif daripada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membantu pelanggan menjana pendapatan hasil daripada penjualan buku dan majalah terbitan DBP. Berikut ialah sembilan sebab mengapa anda perlu mendaftar sebagai ejen pesan hantar DBPNiaga.

1- Yuran pendaftaran yang rendah – Pelanggan yang ingin menjadi ejen hanya perlu membayar yuran RM50.00 untuk seumur hidup.

2- Rebat pesanan bernilai RM20 – Setiap ejen yang mendaftar akan menerima kod rebat bernilai RM20.00. Kod ini hanya boleh digunakan sekali dan sah dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh pendaftaran.

3- Kos operasi yang rendah – Program ini sepenuhnya beroperasi secara dalam dan ejen hanya perlu menyediakan talian internet yang boleh diakses menggunakan telefon pintar atau komputer.

4- Diskaun untuk pembelian peribadi – Ejen akan menerima kod baucar pesan hantar yang bernilai 15% yang boleh digunakan bukan sahaja untuk membuat pesanan pelanggan malah untuk pembelian buku kegunaan peribadi.

5- Tanpa had masa dan lokasi – Ejen boleh mengakses laman web DBPNiaga.my pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk membuat pesanan pelanggan.

6- Ganjaran bulanan bulanan – Bagi menghargai dan menggalakkan ejen untuk mendapat jualan tertinggi, DBPNiaga menawarkan ganjaran bulanan berupakan baucar diskaun bernilai RM50.00.

7- Bayaran terus daripada pelanggan – Mekanisma program ini ialah ejen perlu mendapatkan bayaran terlebih dahulu daripada pelanggan dan hasil bayaran berkenaan digunakan untuk membuat pesanan di laman web DBPNiaga.my. Keuntungan ejen bergantung kepada bayaran pelanggan yang telah ditolak dengan harga semasa membuat pesanan di laman DBPNiaga.my.

8- Keuntungan hampir 30% – Setiap pembelian di laman web DBPNiaga.my menerima diskaun sebanyak 15% untuk judul umum dan 10% untuk judul terpilih. Bagi setiap ejen yang berdaftar, mereka akan menerima kod baucar pesan hantar bernilai 15% untuk digunakan semasa membuat pesanan kepada pelanggan.

9- Tidak perlu menguruskan stok dan penghantaran – Ejen hanya perlu menjalankan promosi, mendapatkan jualan dan membuat pesanan sahaja. Pengendalian stok dan penghantaran diuruskan oleh DBPNiaga.my berdasarkan pesanan yang dibuat oleh ejen.

 .

Pendaftaran menjadi ejen pesan hantar DBPNiaga

Sekiranya anda berminat untuk menyertai program pesan hantar DBPNiaga.my terdapat empat kaedah pendaftaran. Setiap pendaftaran akan dikenakan yuran sebanyak RM50.00, tetapi untuk 20 orang terawal anda hanya perlu mambayar RM20.00 sahaja dan pendaftaran akan mengambil masa lima hari bekerja.

1- Daftar secara e-mel – Anda boleh membuat pendaftaran dengan cara menghantar permohonan melalui e-mel kautsar@dbp.gov.my. DBPNiaga akan menghubungi anda untuk menerangkan kaedah bayaran yuran serta terma dan syarat penyertaan.

2- Daftar melalui laman web http://dbpniaga.my – Anda hanya perlu mendaftar masuk ke laman web DBPNiaga.my dan buat pembelian pakej pesan hantar DBPNiaga. Kaedah pembayaran yang digunakan ialah menggunaan kad kredit, debit atau perbankan Internet.

3- Daftar di kedai buku DBP Hulu Kelang atau Kuala Lumpur – Pendaftaran di kaunter kedai buku DBP yang terletak di Hulu Kelang atau di Kuala Lumpur dengan cara dapatkan borang pendaftaran, lengkapkan, hantar dan buat bayaran yuran secara tunai.

4- Daftar melalui kaunter bergerak pesan hantar DBPNiaga – Kaedah ini sama dengan pendaftaran di kedai buku DBP, namun lokasi kaunter bergerak ini bergantung kepada mana-mana lokasi yang disertai oleh ujana buku DBP.

.

Prosedur ejen pesan hantar DBPNiaga

Ejen berdaftar akan dibekalkan dengan kod baucar pesan hantar dan panduan membuat pesanan untuk membolehkan ejen memulakan operasi. Selain itu, ejen juga akan diberikan e-mel dan kata laluan untuk mereka log masuk ke laman web DBPNiaga.my. Ejen diingatkan bahawa e-mel, kata laluan dan kod baucar pesan hantar adalah sulit. Selain itu, ejen juga akan menerima kod rebat pesanan yang bernilai RM20.00 sebagai dorongan untuk ejen memulakan urusan jual beli, namun kod rebat ini hanya boleh digunakan sekali sahaja dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh pendaftaran.

Langkah pertama untuk ejen memulakan operasi ialah mengenalpasti judul-judul yang bersesuaian untuk mereka ketengahkan untuk memudahkan proses promosi dan urusan jual beli. Antara perkara yang perlu dikenalpasti ialah kategori buku, sasaran pembaca, penulis, harga, kos penghantaran dan fizikal buku seperti berat dan jenis kulit. Pengetahuan ejen mengenai setiap buah buku yang dipromosikan akan memberi kesan kepada pelanggan dalam proses jual beli.

Langkah kedua yang ejen perlu lakukan ialah mengenalpasti lokasi atau medium promosi. DBPNiaga memberi kebebasan kepada ejen untuk menjalankan promosi di mana-mana medium yang bersesuaian selagi tidak bercanggah dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan. Ejen haruslah bijak mengambil peluang mempromosikan buku-buku terbitan DBP ini sekiranya mereka mempunyai kedai buku fizikal, kedai buku secara dalam talian, guru kelas tambahan, ahli kelab atau aktif dalam kumpulan sosial media dengan cara memilih produk yang bersesuaian dengan sasaran pelanggan.

Langkah ketiga ialah menyediakan promosi yang terdiri daripada poster, kulit buku, harga, berat, penulis dan jenis cetakan boleh didapati di laman web DBPNiaga.my serta dalam kumpulan Facebook Pesan Hantar DBPNiaga. Ejen dibenarkan untuk menggunakan poster yang dikeluarkan oleh pihak DBPNiaga untuk tujuan promosi. Sebarang aktiviti promosi yang berunsur lucah atau menyentuh sensitiviti agama atau kaum amat dilarang sama sekali.

Langkah keempat yang ejen perlu jalankan ialah urusan jual beli. Ejen berhak menentukan harga jualan yang diinginkan kepada pelanggan sama ada dengan diskaun atau tanpa diskaun. Bagi memulakan urusan jual beli, ejen perlu mendapatkan butiran pelanggan seperti nama, nombor telefon dan alamat, serta butiran pembelian, iaitu tajuk buku dan kuantiti pembelian. Ejen boleh merujuk kepada laman web DBPNiaga.my untuk semakan harga dan kos penghantaran bagi mengeluarkan sebut harga kepada pelanggan. Sekiranya ejen telah mengetahui harga dan kos penghantaran bagi produk berkenaan sebut harga boleh diberikan terus kepada pelanggan (ikut langkah pertama). Setelah sebut harga dikeluarkan, ejen perlu menunggu pelanggan membuat bayaran dan apabila bayaran dibuat ejen perlu pastikan pelanggan menghantar bukti bayaran yang sah. Selepas itu, baru pesanan pelanggan tersebut dibuat di laman DBPNiaga.my.

Langkah kelima merupakan prosedur yang sangat penting, iaitu membuat pesanan pelanggan. Ejen perlu log masuk ke laman web DBPNiaga.my dan memilih tajuk buku yang telah dipilih oleh pelanggan dan kuantiti yang dikehendaki. Seterusnya pada ruangan alamat terdapat dua bahagian alamat, pertama ialah alamat penghantaran, iaitu alamat pelanggan atau alamat penerima dan kedua alamat pengirim, iaitu alamat ejen sebagai individu yang membuat penghantaran. Seterusnya di ruangan bayaran, ejen perlu menyemak butiran bayaran dan memasukan kod baucar pesan hantar untuk mendapatkan potongan harga sebanyak 15%. Proses membuat pesanan ini diakhiri dengan proses bayaran sama ada menggunakan kad kredit, debit atau perbankan Internet.

Setelah selesai lima prosedur membuat pesanan di atas, DBPNiaga akan memproses pesanan ejen dengan menghantar status proses pesanan iaitu Proses Pembayaran, Proses Penyediaan dan Dihantar secara e-mel. Selepas pesanan dihantar, DBPNiaga juga akan menghantar tracking number kepada ejen menerusi e-mel. Ejen bertanggungjawab untuk memberi tracking number yang diterima kepada pelanggan untuk membolehkan mereka menyemak status pembelian. Semua pesanan akan dihantar menggunakan Pos Laju dalam tempoh 3 hingga 5 hari bekerja.

.

Ganjaran bulanan

DBPNiaga menawarkan ganjaran berupa baucar bernilai RM50.00 kepada para ejen yang berjaya mendapat jualan tertinggi melebihi RM500 pada setiap bulan. Baucar ini hanya boleh digunakan di laman sesawang DBPNiaga.my dan tidak boleh ditukar dengan wang ringgit.

.

Terma dan syarat penyertaan

1- Terdiri daripada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai kemudahan perbankan Internet/ kad debit/ kad kredit.

2- Ejen boleh mempromosikan dan menjual semua produk yang terdapat di dalam laman sesawang DBPNiaga.

3- Menjalankan urus niaga sebagai individu atau atas nama syarikat sekiranya ada dan ejen tidak dibenarkan menjalankan perniagaan sebagai kakitangan DBP, mewakili pihak DBP atau menggunakan logo DBP atau Ujana Buku serta apa-apa sahaja yang menggambarkan imej DBP.

4- Semua urusan membuat pesanan hanya melalui laman sesawang https://dbpniaga.my.

5- Sekiranya terdapat kesalahan pesanan atau penukaran buku, ejen perlu menghubungi DBPNiaga dengan segera, namun tiada jaminan penukaran buku sekiranya penghantaran telah dibuat.

6- Ejen bertanggungjawab sepenuhnya bagi setiap pesanan yang dibuat dan perlu menanggung kos pemulangan semula jika berlaku kesilapan pesanan.

7- Setiap penghantaran tidak akan disertakan dengan resit kecuali atas permintaan ejen (tertakluk kepada perubahan semasa).

8- Kod rebat hanya boleh digunakan sekali sahaja dan sah untuk tempoh masa 3 bulan dari tempoh pendaftaran.

9- Hanya ejen yang berdaftar sahaja yang layak menggunakan kod baucar dan dilarang sama sekali mendedahkan kod baucar kepada umum.

10- Penyalahgunaan kod baucar akan dikenakan tindakan undang-undang.

11- DBPNiaga akan bertanggungjawab untuk menanggung proses pemulangan semula jika terdapat kesalahan penghantaran atau kerosakan buku dan proses pemulangan bayaran akan dibuat dalam tempoh masa 4 minggu.

12- Ejen perlu memaklumkan kepada DBPNiaga sekiranya stok yang terdapat di dalam laman web DBPNiaga.my tidak mencukupi.

13- Tindakkan undang-undang akan dikenakan dan penyertaan ejen akan dibatalkan bagi setiap aktiviti promosi yang berunsur lucah, perkauman, penipuan dan jenayah.

14- Ejen yang dilucut penyertaannya dan dikenakan tindakan undang-undang akan disenarai hitam daripada program ini.

15- Semua kos promosi ditanggung oleh ejen sendiri kecuali bahan promosi boleh diambil daripada laman DBPNiaga.

16- Proses penghantaran kepada pelanggan akan dibuat dalam masa 3 hingga 5 hari bekerja (bergantung pada lokasi pembeli).

17- Setiap pembayaran tidak akan dipulangkan dan ejen tidak boleh membuat apa-apa tuntutan bayaran daripada DBPNiaga kecuali buku yang dipesan telah kehabisan stok.

18- DBPNiaga berhak meminda terma dan syarat tanpa mengeluarkan sebarang notis kepada para ejen.

19- Setiap ejen yang berdaftar dianggap bersetuju dengan semua terma dan syarat yang dikenakan.

.

.

Maklumat semasa:

> [APLIKASI SAYA] Aplikasi Pekaka Bercerita <KLIK>

> Panduan pembelian secara dalam talian <KLIK>

> Khidmat bantuan pembelian DBPNiaga <KLIK>

> Khidmat jualan dan pameran Ujana Buku <KLIK>

> Pembelian E-Buku <KLIK>

Kembali ke laman UTAMA