Ikut kami di Facebook

Majlis penyampaian sumbangan Program Wakaf Buku DBP

Majlis penyampaian sumbangan Program Wakaf Buku DBP

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Program Wakaf Buku telah berlangsung dan diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sumbangan Wakaf Buku DBP bertempat di Pekarangan Bangunan Lama Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis serba sederhana ini diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat DBP dengan kehadiran para tamu lebih daripada seribu orang yang terdiri daripada barisan VIP, kakitangan DBP, pesara DBP, wakil daripada Perbadanan Wakaf Selangor, tenaga pengajar dan para pelajar dari pusat-pusat tahfiz yang terlibat.

Majlis yang berlangsung pada pukul 11.30 pagi ini dimulakan dengan ucapan aluan dan amanat daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Datuk Haji Abdul Adzis bin Abas dan diikuti dengan majlis penyampaian sumbangan wakaf buku DBP yang disampaikan oleh pengerusi lembaga pengelola DBP, iaitu YBhg. Prof. Dato Seri Dr. Md. Salleh bin Yaapar.

Keenam-enam pusat tahfiz yang terpilih turut hadir pada majlis berkenaan yang diwakili oleh tenaga-tenaga pengajar dan pentadbiran sebagai penerima sumbangan wakaf yang berupa buku Tafsir Mubin, Tafsir Maudhu’iy dan buku Ayat-ayat Cinta Dalam Al-Quran yang keseluruhannya bernilai RM17,875.00. Walaupun jumlah ini tidak terlalu besar, namun kami di DBP amat berharap agar sumbangan ini menjadi pencetus kepada masyarakat untuk berwakaf dalam bentuk bahan bacaan seperti buku. Semoga daripada apa yang disumbangkan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh tenaga pengajar serta para pelajar sebaik mungkin.

Berikut ialah pusat-pusat tahfiz yang terpilih untuk menerima sumbangan wakaf buku DBP.

1. Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah, Jalan Paroi, Senawang,Jalan Paroi, Senawang, Taman Rashidah Utama, 70450 Seremban, Negeri Sembilan.


2. Maahad Tahfiz al-Quran dan Al-Hadis Batu Berendam, Lot 90, Jln. Kereta api Lama, Solok Bangsal, Batu Berendam, 75460 Melaka

3. Al-Barakah, Kompleks Darul Barakah, No.9 Jalan PKNP Kg. Sungai Tapah, 30020 Ipoh, Perak.

4. Akademi Darul-Huffaz, 5G, Jln. Putra 4, Tmn. Putra Kajang, 43000 Kajang, Selangor.

5. Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum, Lot 5649 KM 1 Jalan Kuari, Sg. Long Kampung Sg. Serai 43100 Hulu Langat, Selangor.

6. Maahad Tahfiz Masjid Ar-Ridhuan, Batu 7 ½, Hulu Kelang, 68000 Ampang, Selangor.

Pastinya ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang yang telah membuat sumbangan bagi menjayakan program ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik anda daripada setiap sen yang telah anda sumbangkan.

Insyallah Program Wakaf Buku DBP ini akan diteruskan lagi dengan menyasarkan kepada pelajar tahfiz dan rumah anak-anak yatim.

Leave a Reply

* Name:
* E-mail: (Not Published)
   Website: (Site url withhttp://)
* Comment:
Type Code