Ikut kami di Facebook

Video Terkini

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan

Oktober semestinya bulan yang dinanti-nantikan saban tahun oleh pencinta bahasa.  Hal ini dikatakan demikian kerana setiap tahun pada bulan Oktober, seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK), iaitu salah satu program tahunan negara.

Pada tahun ini, sudah semestinya pelbagai aktiviti kebahasaan dirancang untuk memeriahkan lagi sambutannya. Program ini diadakan, antaranya, untuk mempromosikan produk bahasa, sastera, penerbitan dan budaya Melayu di samping memantapkan jaringan kerjasama antara DBP dengan pelbagai pihak. Selain itu, BBK yang diadakan ini diharap dapat meningkatkan kecintaan rakyat Malaysia terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu, serta memperkukuh bahasa, sastera dan budaya Melayu yang melibatkan khalayak umum.

Bermula dengan nama Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sekitar dekad 60-an, gerakan memartabatkan bahasa Melayu terus ditingkatkan dengan pelbagai kempen kebahasaan. Pada tahun 1999, gerakan ini telah diubah namanya kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Sepuluh tahun kemudian, nama BBSN telah ditukar kembali kepada nama asalnya, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada setiap masa dan diperhebat lagi ketika sambutan BBK yang diadakan di seluruh negara.

Bahasa bukan sahaja penting sebagai alat komunikasi, tetapi bahasa juga melambangkan nilai dan hati budi sesuatu masyarakat walau di mana-mana mereka berada. Oleh itu, untuk meletakkan bahasa Melayu pada tahap yang lebih tinggi sehingga menjadi salah satu bahasa utama dunia, pelbagai usaha perlu dilakukan secara berterusan dan hal ini memerlukan kerjasama semua pihak dan lapisan masyarakat.

Amalan mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu asas kecintaan terhadap negara yang perlu dipupuk sedari kecil. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak-kanak mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka, baik di rumah mahupun di sekolah dan tempat awam. Sekiranya kepentingan penggunaan bahasa Melayu diterapkan sedari mereka kecil, sudah pasti mereka akan dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang. Ini juga boleh membantu mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Namun begitu, kita sering melihat budaya sesetengah pihak yang suka mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, terutama dalam urusan rasmi, termasuk dalam wawancara yang disiarkan oleh media elektronik. Hal ini menyebabkan penggunaan bahasa rojak yang meluas dalam kalangan masyarakat sukar dibendung dan perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Sekiranya bahasa rojak ini tidak dikawal, dikhuatiri jati diri dan citra bangsa Malaysia akan lenyap ditelan zaman.

Leave a Reply

* Name:
* E-mail: (Not Published)
   Website: (Site url withhttp://)
* Comment:
Type Code